Promosi: Bahaya Arak

Pos ini bertujuan tidak lebih daripada memberikan maklumat kepada pembaca berkenaan bahaya arak. Harap dapat memberi ilmu kepada pembaca terutamanya kepada non-muslim.


ISLAM mengharamkan meminum arak sejak 14 abad lalu. Orang Arab jahiliyah sebelum kedatangan Islam adalah peminum arak yang cukup dahsyat.

Mereka menganggap arak sebagai sejenis minuman yang memberikan keseronokan hidup di samping meletakkan arak sebagai hidangan biasa yang berkhasiat untuk menjaga kesihatan.

Ada segelintir umat Arab jahiliyah yang baru memeluk Islam cuba mempengaruhi Rasulullah s.a.w. dengan mengatakan mereka meminum arak dan memberikannya kepada orang lain hanya sebagai penawar dan ubat.

Rasulullah s.a.w. segera menyanggah anggapan itu dengan bersabda: “Ia bukan ubat, bahkan arak sebenarnya adalah punca kepada penyakit.” (Riwayat Muslim)

Islam pada awalnya membasmi kepercayaan karut yang sudah berakar umbi dalam kehidupan masyarakat Arab jahiliyah sebagaimana kata-kata Aisyah, isteri Rasulullah yang dipetik oleh Imam Bukhari: “Sekiranya al-Quran mula-mula memberitahu orang Arab agar jangan meminum khamar (arak) dan tidak berjudi serta melakukan perzinaan, mereka akan berkata: “Tidak, kami tidak akan patuh.”

“Cerita kehidupan selepas mati, mengenai syurga dan tamannya yang indah bagi sesiapa yang patuh serta seksaan api neraka bagi yang ingkar hingga hati menjadi lembut, selepas itu diperintahkan berhenti daripada meminum khamar, melakukan perzinaan dan berjudi, maka mereka mematuhinya.”

Walaupun begitu, arak tidak terus dilarang serta-merta. Ia mengambil tempoh tiga tahun untuk pengharaman arak secara keseluruhannya.

Orang Islam mula bertanyakan mengenai perihal arak sebagaimana dinyatakan al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu mengenai khamar dan judi. Katakanlah pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”

Ayat ini memberi kesedaran dan keinsafan kepada orang yang kuat iman dan beramal salih untuk terus meninggalkan arak dan judi. Bagaimanapun, larangan ke atas arak tidak dinyatakan dengan jelas.

Perintah lain yang diturunkan adalah dalam peristiwa seorang sahabat bersolat dalam keadaan mabuk dan melakukan kesilapan besar ketika membaca ayat suci al-Quran. Peristiwa ini diceritakan al-Quran melalui surah an-Nisa’ ayat 43 yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk…”

Larangan ini sangat mustahak kerana tabiat mabuk diperkatakan buat pertama kali bersama sembahyang yang difardukan pada waktu tertentu dalam sehari, iaitu bermula solat Subuh hingga Isyak.

Ini menimbulkan konflik antara perintah baru dengan adat resam orang Arab jahiliyah yang meminum arak pada awal pagi dan permulaan malam.

Perjuangan melawan hawa nafsu bagi mengekang tabiat meminum arak menagih kesabaran dan ketabahan oleh peminumnya.

Pada peringkat awal untuk menghilangkan ketagihan, peminum arak yang aktif mungkin terkena ‘sawan’ atau tabiat meracau yang berpanjangan.

Perintah akhir larangan meminum arak diturunkan dalam satu majlis jamuan membabitkan orang Muhajirin dan Ansar iaitu arak menjadi satu daripada bahan hidangan.

Apabila ramai yang mabuk, mereka mula bermegah-megah dan kemudian bergaduh sesama sendiri dengan melontar ketulan-ketulan tulang yang terdapat dalam hidangan makanan.

Apabila mabuk hilang, mereka mula menyesal, insaf dan merasa berdosa atas tindakan itu.

Pada waktu itulah, al-Quran menyatakan bahawa judi dan khamar adalah dilarang kepada semua umat Islam sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Maidah ayat 90-91 yang bermaksud: “…Syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum arak dan berjudi dan menghalang kamu daripada mengingati Allah dan solat, maka berhentilah kamu (daripada melakukan perbuatan itu).”

Anas bin Malik disebut sebagai menyatakan: “Apabila khamar (arak) dilarang, orang Arab masih menyukainya dan ada yang amat sukar untuk mematuhinya. Tetapi akhirnya mereka berjaya mematuhi perintah Allah dengan setiap daripada peminum arak akan membawa arak dari rumah masing-masing ke jalan raya dan membuangkannya. Jalan dan lorong di Madinah dipenuhi dengan bau arak selama beberapa hari.”

Sejak peristiwa itu hingga ke saat ini, orang Islam di seluruh dunia adalah orang yang paling kurang berdepan dengan masalah ketagihan arak.

Sudah jelas bahawa sesetengah jenayah dalam masyarakat hari ini antara lain berpunca daripada arak.

Kajian ilmiah sama ada dari segi sains, psikologi dan kemasyarakatan menunjukkan bahaya arak.

Al-Quran awal-awal lagi memberi amaran bahawa mudarat arak lebih banyak daripada manfaatnya sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”

Keburukan adalah lebih besar daripada kebaikan antaranya:

  • Apabila diminum dengan banyak, arak boleh merosakkan selaput lendir perut dan menjadi racun yang masuk meresap dengan cepat ke dalam bahagian tubuh manusia terutama sekali jantung dan buah pinggang.
  • Meminum dengan banyaknya boleh menjadikan seseorang itu mendapat sesak nafas yang membawa kepada alat pernafasan terganggu.
  • Juga boleh menyebabkan kematian mengejut akibat kuat tekanan alkohol dalam arak itu kepada hati dan jantung.
  • Meminumnya ketika perut kosong atau sebelum makan pagi boleh menyebabkan berlakunya barah dalam perut.

    Profesor AJ Arberry pula mengatakan: “Peminum arak menghadapi bahaya penyakit darah beku dan pembekuan air hempedu, malah mereka akan merepek seperti orang gila dan mudah sekali mendapat penyakit ahmar atau lumpuh.

    “Selain itu, seorang yang mabuk akibat arak akan hilang pertimbangan akalnya. Secara tidak sedar dia membuka rahsia keburukan dirinya sendiri kepada orang lain.”

    Profesor Muhammad Farid Wejdi, penyusun Ensiklopedia Islam menjelaskan: “Tidak pernah manusia menerima pukulan yang paling hebat seperti pukulan arak. Orang yang terkorban juga ramai disebabkan oleh arak.

    “Jikalau dibanci orang sakit dalam hospital di seluruh dunia, nescaya yang paling ramai ialah penghidap penyakit gila dan penyakit urat saraf yang disebabkan arak. Orang yang menderita kesakitan urat saraf, kesakitan pundi-pundi makanan, kesakitan tali perut adalah disebabkan arak.”

  • Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

    0 cAkAp2:

    WaKTu SoLaT

    Islamic Calendar

    Followers

    PeRsOnAL

    My photo
    Kedah, Malaysia
    I'm a man. What else??
    Powered by Blogger.