Monday, March 28, 2011 |
0
cAkAp2
Nabi Muhammad saw pernah bersabda "Rawatilah penyakit kamu dengan bersedekah."
Ibnu Qayyim berkata bahawa sesungguhnya Allah s.w.t menghindarkan seseorang daripada bermacam-macam bala dengan sebab bersedekah.
Ada satu kisah salah seorang Shaikh yang thiqah (dipercayai) yang mengisahkan kisah anak beliau yang sakit. Shaikh ini mempunyai anak berumur 5 tahun. Pada suatu hari dia jatuh sakit. Dia pun membawa anaknya kepada doktor dan doktor memberitahunya bahawa dia sakit teruk dan tidak boleh disembuhkan. Dia akan mati tidak berapa lama lagi. Shaikh yang bertaqwa lagi saaleh ini pun mula berasa sedih yang bersangatan. Dalam kesedihan beliau tiba-tiba terlintas di fikiran beliau sebuah hadith Rasul SallAllahu `alayhi wa sallam: "Rawatilah penyakit kamu dengan bersedekah."
Pada malam tersebut seperti kebiasaan beliau selepas bangun untuk bertahajjud dan berdoa maka beliau memutuskan untuk keluar ke jalan raya untuk mencari orang yang boleh disedekahkan namun tidak ketemu. Cuaca di luar sangat dingin ketika itu dan manusia sedang tidur dalam rumah mereka. Namun beliau bertemu dengan seekor kucing putih lagi comel yang sedang menyusukan anak-anaknya dalam keadaan kelaparan yang bersangatan. Beliau pun segera kembali ke rumahnya dan memberikan kepada kucing tersebut seketul daging dengan niat sedekah kerana Allah. Kemudian beliau pergi ke masjid untuk solat Fajar dan kemudian kembali ke rumah untuk tidur sebentar.
Semasa tidur beliau melihat suatu mimpi yang aneh di mana seekor gagak hitam yang besar menyerang anaknya dan cuba menyambarnya dalam keadaan anaknya menangis sambil meminta tolong. Dengan tidak semena-mena datang seekor kucing putih yang menyerang dan mencarik-carikkan gagak tersebut dan budak itu pun terselamat. Shaikh pun bangun selepas itu tanpa mengambil peduli tentang mimpi beliau yang aneh. Seperti kebiasaannya beliau akan membawa anaknya kepada doktor untuk beberapa pemeriksaan dan ujian. Doktor merasa terkejut selepas ujian tersebut dan mengesahkan bahawa anaknya tidak lagi mengalami apa-apa penyakit. Shaikh pun teringat kembali mimpi beliau serta sedekah yang beliau lakukan secara tersembunyi dalam kegelapan malam lalu bershukur kepada Allah atas perkara tersebut. Anak beliau pun membesar lalu menjadi seorang pemuda yang bertaqwa, menghafal keseluruhan Al Qur'an dan memiliki suara yang indah lagi lunak.
Kisah 2
Sedekah sesungguhnya memiliki rahsia yang mengagumkan dalam mengubati pelbagai jenis penyakit. Apa yang jelas, di samping mendapat pahala dengan sebab bersedekah Allah menyelamatkan diri kita (orang yang bersedekah) daripada musibah atau kejadian yang mengerikan.
Kisah yang disampaikan Ustaz Sayid Juail. Kisah ini diambil dari buku Al-Tadawi bi al-Shadaqah tulisan Hasan bin Ahmad Hasan Humam yang diterjemah ke bahasa Melayu oleh Ummi Hakimah.
Seorang ayah tiba-tiba mengalami sakit luar biasa. Dia tidak tahu punca sakit itu. Melihat keadaan ayah yang amat sakit itu anak lelakinya segera membawa ke hospital dan dimasukkan ke bilik kecemasan. Tidak lama kemudian doktor datang memeriksa. Hasilnya, doktor mengatakan bahawa ayah budak lelaki itu menderita penyakit batu ginjal di saluran kencingnya. Jalan terbaik ialah pembedahan.
Mendengar keputusan doktor, si ayah dan anak lelaki menerimanya dengan pasrah. Tapi sebelum dilakukan pembedahan, mereka mohon penangguhan beberapa hari untuk menyiapkan biaya pembedahan.
Hari berikutnya anak lelakinya kembali melakukan tugasnya di sebuah syarikat. Kebetulan hari itu dia dapat gaji. Hatinya sangat senang dan bahagia. Ketika dalam perjalanan pulang dari pejabatnya, dia melihat seorang lelaki tua miskin sedang mengumpulkan barang bekas dengan keadaan sangat penat dan letih. Melihat orang tua itu, si anak lelaki itu pun berfikir: andai kata dia seperti lelaki tua itu, tentu sangatlah penat dan letih. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk memberikan seluruh gajinya itu kepada orang tua itu dengan niat semoga Allah akan menyembuhkan penyakit yang dideritai ayahnya.
Sesampai saja di rumah, dia mendapati wajah ayahnya cukup ceria dan bahagia. Ayahnya berkata: 'Wahai anakku, Alhamdulillah, tidak berapa lama sebelum kau tiba, ayah merasa sangat sakit di bahagian perut. Kemudian ayah segera menuju ke tandas untuk membuang air besar. Tidak ayah sangka, akhirnya batu ginjal keluar dengan sendirinya. Dan sekarang ayah merasa sangat nyaman dan selesa saat ini." Mendengar perkataan si ayah, anak lelakinya itu menitiskan air mata kerana terharu dan rasa syukur kepada Allah.
Maka benar Allah dalam sabda Nabi-Nya yang bermaksud: "Ubatilah sakit kamu dengan cara bersedekah, peliharalah harta kamu dengan cara berzakat dan hindarilah bala dengan cara berdoa." Sebenarnya segala aturan kehidupan semua makhluk di dunia ini ditetapkan Allah. Justeru, setiap orang yang beriman sudah sepatutnya untuk tetap melakukan dan berusaha dengan berpegang teguh kepada Allah.
0 cAkAp2:
Post a Comment