Isu PPSMI ni still tak reda, tapi ada pendapat menarik yang keluar dalam kolum 'Surat' Berita Harian:-
Pelajar perlu baca banyak buku bahasa Inggeris
BERIKUTAN pengumuman Menteri Pelajaran Datuk Seri Muhyiddin Yasin membatalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akhirnya menutup tirai perdebatan.
Saya menyokong keputusan itu dan ingin memberi beberapa cadangan supaya rakyat Malaysia boleh kaji bersama.
Ketika kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melaksanakan dasar itu, saya sering bertanya dua soalan: Pertama, adakah pelajar kita akan menguasai teori Matematik dan Sains sepenuhnya apabila kebanyakan guru mereka juga lemah dalam bahasa Inggeris dan tidak mampu menjelaskan teori dan konsep Matematik dan Sains dalam bahasa itu?
Kedua, mampukah pelajar kita menulis karangan atau artikel Inggeris yang baik selepas beberapa tahun diajar Matematik dan Sains dalam bahasa itu?
Saya pernah bekerja sebagai tutor peribadi bahasa Inggeris ketika melanjutkan pelajaran di Taiwan.
Saya mementingkan penggunaan bahasa itu dalam kehidupan seharian.
Pada permulaan setiap sesi tutor, saya biasanya bertanyakan pelajar Taiwan saya: “Beritahu saya mengenai kehidupan anda atau perkara istimewa yang berlaku minggu lalu dalam bahasa Inggeris yang lancar.” Konsep saya mudah saja: “Jika bahasa Inggeris anda memang baik, anda sepatutnya boleh bercakap dalam bahasa Inggeris yang lancar dan baik.
Jangan beritahu saya bahasa Inggeris anda baik hanya kerana menghafalkan banyak perbendaharaan kata dalam kamus Oxford.
Beberapa pelajar Taiwan dari jurusan Kejuruteraan atau Matematik dan menggunakan buku teks bahasa Inggeris dari negara Barat dalam kursus mereka.
Walaupun mereka mampu memahami teori dan konsep Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, mereka tidak mampu berbahasa Inggeris ketika diminta memberitahu mengenai kehidupan seharian mereka.
Keadaan itu memaksa saya bertimbang, adakah teori dan konsep Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dapat membantu seseorang menulis esei Inggeris yang baik dan berbahasa Inggeris dengan lancar?
Bukankah kita mesti kembali ke asalnya, iaitu asal bahasa Inggeris sekiranya kita ingin meningkatkan tahap bahasa itu?
Seseorang mesti membaca secukupnya sekiranya ingin menguasai sesuatu bahasa. Kita mesti memupuk tabiat membaca buku bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Adakah pengiraan dan latihan Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris akan meningkatkan tahap bahasa Inggeris pelajar kita?
Penulis bahasa Inggeris terbaik dalam sejarah seperti William Shakespeare, Charles Dickens dan George Orwell adalah profesor Inggeris terbaik.
Apakah kita lakukan dalam mengajar pelajar kita bagaimana belajar daripada tokoh bahasa Inggeris itu?
Saya ingin mencadangkan Kementerian Pelajaran melaksanakan polisi berikut di semua sekolah:
Bertutur dalam bahasa Inggeris yang baik dalam kehidupan seharian, memupuk tabiat membaca dalam bahasa Inggeris dan belajar daripada tokoh bahasa Inggeris, saya yakin kita akan meningkatkan tahap itu.
YEOW BOON KIAT,
Petaling Jaya, Selangor.
0 cAkAp2:
Post a Comment