Tika tanah Palestin dilanggar oleh kereta-kereta kebal Yahudi, askar-askarnya yang menceroboh, maka disaat itu juga umat islam di seluruh dunia mula menunjukkan tindak balas. Umat islam juga menunjukkan tindak balas mereka dengan berdemonstrasi, mengutuk jenayah perang tersebut dan tentu tidak ketinggalan juga, kempen BOIKOT yang menyeru para pengguna untuk memboikot produk-produk Israel/Amerika bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan zalim zionis laknatullah.
Keberkesanan
Namun, seharusnya kita bermuhasabah. Adakah berkesan kempen tersebut? Adakah akan berterusan sekalipun akhbar-akhbar kurang ‘mensensasikan’ lagi berita-berita ini? Apa kesungguhan pengguna dalam memahami jerih payah dan juga kesengsaraan penduduk Palestin ataupun mengabaikannya hanya untuk memenuhi keperluan sendiri sambil tidak mahu menyempitkan pilihan yang ada? Adakah mereka ini mempunyai sikap “aku ambil peduli”?
Kesedaran yang tidak berkekalan
Bila isu ini semakin kurang diberi perhatian, akan berkurangan juga kesedaran pengguna akan pegangan BOIKOT yang dipegangnya dulu. Mereka akan kembali kepada barangan dapur yang mempunyai jenama Nestle, menggunakan barangan jenama Kotex, Johnson n Johnson dan kawan-kawan yang sewaktu dengannya. Malah, rokok keluaran syarikat Philip Morris langsung tidak terjejas jualannya. Tiada lagi kedengaran semangat BOIKOT yang selalu dilaungkan suatu ketika dulu. Tesco pula, masih ramai lagi yang berpusu-pusu datang untuk membeli-belah.
Tujuan yang tidak jelas
Kebanyakan kita memboikot tidak mempunya tujuan yang jelas. Bila ditanya, mudah sangat jawapannya: Aku ikut BOIKOT sebab aku simpati dengan nasib rakyat Palestin yang ditindas. Niat itu memang betul, sayangnya Cuma sipi. Pabila keprihatinan masing-masing terhadap isu Palestin makin berkurangan, semangat BOIKOT juga akan luntur. Sehingga mana akan terfikir bahawa tiada gunanya lagi diteruskan BOIKOT ini. Perlahan demi perlahan, dia akan kembali menggunakan semula produk-produk yang satu ketika dulu diboikot sehabis-habisnya.
Matlamat lebih jelas
Seharusnya kita mempunyai matlamat lebih jelas dalam isu ini. Dan kesesuaiannya adalah JIHAD EKONOMI. BOIKOT dan JIHAD EKONOMI membawa pemahaman yang berbeza. BOIKOT difahami dengan memulaukan barangan-barangan keluaran mereka yang dibenci secara total manakala JIHAD EKONOMI lebih kepada usaha untuk menolong ekonomi umat islam dengan menyokong dan membeli produk-produk buatan orang islam. Bagi mereka yang melakukan JIHAD EKONOMI, mereka mudah untuk kekal berbuat demikian disebabkan keinginan yang tinggi dalam membantu ekonomi umat islam. Mereka juga mengetahui dan mempercayai bahawa tindakan ini memperoleh ganjaran pahala. Malah, tidak pula mereka melampau-lampau dalam melakukannya dengan menyokong sekadar mampu (tidak melakukan BOIKOT keseluruhan tetapi bermula sedikit demi sedikit dengan barangan yang mudah seperti ubat gigi, makanan segera, sos, kicap, etc).
Sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit
Perbuatan melampau dalam melakukan kebaikan adalah sesuatu yang harus dielakkan. Seperti pepatah melayu menyebut, “Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali”. Maka haruslah kita memandang isu ini bukan semata-mata satu perjuangan jangka pendek, tetapi satu perjuangan panjang yang penghujungnya hanya kematian jasad sendiri. Dalam melakukan sesuatu perkara, perlu ada matlamat yang jelas supaya tidaklah kita “hangat-hangat tahi ayam@kambing@lembu”. Aku merasakan aku perlu menyertai JIHAD EKONOMI ini. Yang lain bagaimana…??