KISAH HIDUP IMAM BUKHARI

Mengembara beribu batu untuk menuntut ilmu, mempelajari dan mengumpul hadis-hadis Rasulullah SAW bukanlah satu kerja yang mudah. Tapi itulah minat dan kecintaan lelaki luar biasa ini. Kesungguhannya amat ketara walaupun umurnya masih muda remaja. Pernah Imam Bukhari bermusafir 8,000 kilometer untuk mendapatkan sepotong hadis sahaja.

Bagaimanapun, beliau sangat teliti dalam menyaring Hadis-hadis yang diterimanya sebelum mengklasifikasikann ya sebagai Hadis sahih.

Satu ketika beliau pergi ke rumah seorang perawi Hadis. Beliau melihat orang berkenaan sedang menabur sesuatu kepada binatang ternakannya. Rupa-rupanya dia menabur pasir untuk mengumpan haiwan itu supaya mendekatinya.

Melihat perbuatan orang tersebut, terdetik di hati Imam Bukhari, "Kalau orang ini boleh berlaku tidak jujur dengan haiwan, dia juga boleh berlaku tidak jujur dengan ilmu."
Lalu beliau sekadar berjumpa orang itu-tetapi tidak mengambil Hadis daripadanya.

Bagaimanapun, sekiranya beliau tidak menerima Hadis-hadis yang diragui perawiannya, Imam Bukhari tidak akan menyebut nyebut keaiban perawi-perawinya, apalagi mengumpat atau mencela mereka. Beliau hanya mengatakan, "Hadis ini tidak mencukupi syarat-syarat yang diperlukan untuk diakui sebagai Hadis yang sahib" atau "Hadis ini tidak dipakai orang."

Sewaktu kecilnya, Imam Bukhari telah hilang penglihatannya. Ibunya tidak putus-putus berdoa kepada Allah agar penglihatan anaknya pulih. Hinggalah pada satu malam si ibu yang berhati mulia itu telah bermimpi bertemu Nabi Ibrahim a.s.

Dalam mimpinya itu Nabi Ibrahim a.s. berkata, "Wahai ibu! Allah telah mengembalikan penglihatan anakmu disebabkan doamu yang tulus dan sepenuh hati."

Keesokan harinya, ketika si ibu bangun dari tidur, beliau amat terkejut dan gembira melihat anaknya Muhammad (nama sebenar Imam Bukhari) pulih penglihatannya.

"Muhammad... kau telah dapat melihat semula?" tanya ibunya.

"Ya, bu, berkat doa ibu," jawab Imam Bukhari dengan wajah ceria. Berkat doa ibunya juga, Imam Bukhari terbuka hatinya untuk mendalami ilmu terutama ilmu tentang Hadis. Sebagai tanda kesyukuran, si ibu merelakan anaknya berpisah daripadanya dan merantau menuntut ilmu.

Imam Bukhari telah menghabiskan sebahagian umurnya mengembara ke pelbagai tempat untuk belajar dan mengumpul Hadis untuk dimuatkan di dalam kitabnya "Sahih Bukhari" .

Pada satu malam Imam Bukhari bangun menyalakan lampu lalu pergi menyucikan diri. Kedinginan malam langsung tidak menggoyahkan azam dan niatnya untuk bermunajat pada Tuhan, seolah dia sudah lali dengannya.

Setelah menunaikan beberapa rakaat sembahyang, dia mengambil masa menulis dan menyalin kembali Hadis-hadis yang baru diterimanya. Menjelang Subuh, beliau menyambung sembahyangnya sebanyak 13 rakaat lagi.

Pada masa yang lain pula beliau akan berwudhuk dan melakukan sembahyang dua rakaat setiap kali hendak menulis (menaqalkan) sesebuah Hadis di dalam kitabnya "Sahih Bukhari". Bagi beliau, Hadis adalah wahyu Allah jua, maka kepada-Nya beliau mohon pertolongan untuk menyempurnakan kerja mengumpul dan menyaring Hadis-hadis yang dipusakakan oleh Rasul tercinta.

Beliau juga dikenali sebagai ahli khusyuk. Pernah Imam Bukhari meminta tolong kawan-kawannya membuang sesuatu di belakang badannya yang membuatkan dia rasa tidak selesa setelah bersembahyang tadi.

"Masya-Allah, kau disengat lebah," seru kawan-kawannya dengan nada hairan. Di belakang badan Imam Bukhari terdapat kesan-kesan lebam bekas sengatan lebah. Kebiasaannya, orang yang kena sengat sampai begitu tentu akan menjerit dan mungkin jatuh pengsan. Pelik, serangan lebah-lebah itu tidak sedikit pun mengganggu sembahyangnya.

Namun tidak ada yang aneh bagi manusia besar seperti Imam Bukhari ini. Sejak ia mula mengangkat takbir yang pertama untuk sembahyang hinggalah selesai memberi salam tiada ruang di hatinya untuk yang lain mencelah selain dan bermunajat dengan Penciptanya Yang Maha Pengasih.

Labels:

KISAH LIMA PERKARA ANEH

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "saya diperintahkan memakan pertama saya hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.


Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "saya telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah saya." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah. saya sangat lapar dan saya mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah. saya telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimanayang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.

Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.

Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Labels:

WaKTu SoLaT

Islamic Calendar

Followers

PeRsOnAL

My photo
Kedah, Malaysia
I'm a man. What else??
Powered by Blogger.